Perubahan Harga Petrol, Pertukaran Mod Kenderaan Dan Keselamatan Jalan Raya Di Malaysia
Nor Ghani Md Nor
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia
Nizam Ahmat, Abu Hassan Shaari Md Nor, Ahmat Md Zain
Abstract
Peningkatan kos perjalanan akibat daripada kenaikan harga bahan api kenderaan berpotensi untuk memberi kesan tidak langsung yang penting iaitu pertukaran pilihan mod pengangkutan dan seterusnya mengubah profil risiko kemalangan yang dihadapi oleh pengguna jalan raya. Profil risiko kemalangan yang dihadapi pengguna berubah kerana mod pengangkutan yang berlainan mempunyai kadar risiko kemalangan yang berbeza. Oleh itu, kajian ini bertujuan menguji hubungan antara profil risiko kemalangan jalan raya dengan peningkatan harga petrol di Malaysia dengan menggunakan data suku tahunan dari tahun 2000Q1 hingga 2010Q4. Kaedah regresi digunakan dengan menganggar model Poisson. Hasil kajian menunjukkan perubahan pemilikan motosikal adalah positif dan lebih responsif dengan kenaikan harga petrol berbanding dengan perubahan pemilikan kereta yang didapati negatif. Keputusan kajian juga menunjukkan impak bersih kenaikan harga petrol yang positif kepada kadar kematian pengguna mod motosikal. Kadar kematian pengguna mod kereta pula impak bersih kenaikan harga petrol adalah tidak signifikan. Namun begitu, impak bersih kenaikan harga petrol kepada kadar kecederaan pengguna jalan raya adalah sebaliknya. Dapatan ini, menyokong beberapa kajian lepas yang mendapati kenaikan harga petrol meningkatkan permintaan kenderaan bersaiz kecil sehingga meningkatkan risiko kematian kepada pengguna jalan raya. Dalam hal ini, dapatan kajian telah menyumbang kepada perdebatan semasa mengenai kesan keselamatan dan ekonomi yang diakibatkan oleh kenaikan harga petrol. Hasil keputusan kajian ini telah memberikan dua implikasi. Pertama; kenaikan harga petrol telah meningkatkan kadar kematian dan kecederaan penggunanya akibat kemalangan jalan raya. Kedua, implikasi terhadap dasar awam iaitu keputusan untuk menaikkan harga petrol mesti mengambil kira kesannya terhadap keselamatan jalan raya kerana telah meningkatkan risiko kematian dan kecederaan penunggang dan pembonceng motosikal.
Keywords: Perubahan harga petrol, Pertukaran mod, Kos kemalangan